iklan....Layanan iklan anda.. untuk di klik

SELAMAT DATANG..Para tetamu yang dikasihi

Jumaat, 25 Jun 2010

kisah menyayat hati. pelajar MTD mati didera

Seorang pelajar Tingkatan Empat Maktab Tentera Diraja (MTD) mati di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) Kem Sungai Besi di sini, awal pagi semalam, dipercayai akibat dibuli dan didera.

Mohammad Naim Mustaqim Mohd Sobri, 16, dikatakan pengsan selepas didera sekumpulan pelajar senior antara jam 11.30 pagi kelmarin dan 1.20 pagi semalam di asrama maktab Kem Sungai Besi itu.

Beliau kemudian dikejarkan ke pusat perubatan itu, namun disahkan meninggal dunia.

Sumber memberitahu Berita Harian, mangsa antara lain dipaksa melakukan tekan tubi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, berkata siasatan awal mendapati ada unsur jenayah dalam kematian Mohammad Naim dan siasatan masih dijalankan.

Kami menerima laporan daripada pihak tentera pada jam 2 pagi tadi (semalam) memaklumkan mangsa pengsan di asrama dan dikejarkan ke hospital di dalam kem itu, tetapi meninggal dunia.

Selepas menerima laporan itu, sepasukan polis dihantar ke PPAT dan membawa jenazah mangsa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk dibedah siasat, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Abdul Rahim yang mengesahkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, berkata setakat malam tadi belum ada sebarang tangkapan kerana masih menunggu laporan bedah siasat di HUKM dan laporan kimia.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, Cawangan Penyiasatan Khas (CPK) dari Provos Marsyal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melakukan siasatan dalaman untuk mengenal pasti punca dan sebab kejadian itu berlaku.

Beberapa pelajar dikenal pasti bersama-sama Allahyarham ketika kejadian turut dipanggil bagi membantu siasatan, kata kenyataan itu.

Jenazah Mohammad Naim diterbangkan menggunakan pesawat pengangkut tentera, Hercules C-130 ke Pangkalan Tentera Udara Alor Setar untuk urusan pengebumian di Baling.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Sobri Mohd Sofian, 41, yang ditemui di rumahnya di Kampung Siong, Baling, malam tadi berkata, dia terkilan apabila pihak ATM lewat memaklumkan mengenai kematian anaknya itu.

Katanya, dia menerima panggilan daripada seorang pegawai ATM kira-kira jam 1.20 pagi semalam yang hanya memaklumkan Mohd Naim Mustakim meninggal dunia dan tidak memberitahu punca kematiannya.

Pegawai itu tidak memberitahu secara terperinci kejadian berkenaan, termasuk mengapa anak saya yang sihat meninggal dunia. Mereka juga lewat memaklumkan kejadian itu kepada kami, katanya.

Sementara itu, jenazah mangsa tiba di rumahnya kira-kira jam 8.30 malam tadi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Baling, malam tadi.

0 ulasan: