SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Firma perunding Gartner kelmarin melaporkan jualan komputer peribadi (PC) di seluruh dunia merosot pada suku tahun kewangan yang berakhir baru-baru ini kerana pengguna lebih gemar membeli komputer meja dan telefon pintar.
Di AS, bilangan PC yang dieksport dalam suku kewangan ketiga tahun ini terus menurun.
"Pasaran PC pengguna terus lemah," kata penganalisis kanan Gartner, Mikako Kitagawa.
"Ia susulan gajet bukan PC termasuk tablet media seperti iPad dan telefon pintar yang semakin popular dan menjadi pilihan terkini pengguna," tambahnya.
Menurut Kitagawa lagi, Hewlett Packard (HP) kekal pengeluar komputer terbesar dunia, tetapi Lenovo yang berpangkalan di China semakin kukuh apabila jualan PC syarikat itu melonjak 25 peratus sekali gus merampas tempat kedua daripada Dell sepanjang tahun ini.
Laporan Gartner turut meramalkan tablet media dan telefon pintar akan terus memberi kesan kepada jualan PC terutama di AS. - AFP